Yang Berbahagia Gobind Singh Deo, bersama Datuk Dr Ameer Ali Mydin pada Majlis Pelancaran MYDINPay.

Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN) muncul rangkaian peruncit dan pemborong Malaysia pertama yang memperkenalkan aplikasi e-dompet menerusi MYDINPay bagi pengalaman beli-belah lebih mudah dengan inovasi terbaharu.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Wira Ameer Ali Mydin berkata, pelancaran MYDINPay menyaksikan kesediaan MYDIN berubah ke era digital serta mendepani cabaran pasaran.

Katanya, MYDIN mengambil langkah inovatif menjadi pemborong dan peruncit pertama di Malaysia yang membangunkan aplikasi digital e-dompet, MYDINPay bagi memastikan pelanggan setia mendapat pengalaman membeli-belah menyeronokkan dengan inovasi perniagaan yang memberi kemudahan kepada mereka.

“Bukan mudah menjadi yang pertama, banyak fasa trial and error yang harus kami depani bagi membangunkan aplikasi ini, namun terima kasih kepada WavPay sentiasa membantu kami dalam melalui proses ini.

“Selain itu, untuk makluman semua, kerjasama dengan WavPay bagi membangunkan aplikasi e-dompet MYDINPay ini amat signifikan keranamereka adalah penyedia perkhidmatan teknologi kewangan yang diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) dan cukup berpengalaman.

“Istimewanya dengan MYDINPay ini, MYDIN dapat lebih berinovasi dengan memberi fokus kepada perincian yang sesuai seperti promosi, ganjaran, kupon dan rebat yang kami sesuaikan mengikut format perniagaan MYDIN,” katanya pada Majlis Pelancaran MYDINPay di sini, semalam.

Hadir merasmikan pelancaran terbabit ialah Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo.

Sempena pelancaran ini, beliau berkata, MYDINPay menawarkan baucar RM5 yang akan dikreditkan ke aplikasi MYDINPay bagi 1,000 pelanggan pertama yang mendaftar.

“Bukan itu sahaja, 3,000 pengguna terawal yang membelanjakan minimum RM150 dengan aplikasi MYDINPay di mana-mana cawangan MYDIN layak menikmati rebat pulangan tunai sebanyak lima peratus.

“Kami juga menganjurkan cabutan bertuah kepada pengguna aplikasi MYDINPay pada hari ini bernilai RM2,000,” katanya.