Pemborong dan peruncit tempatan negara, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), mengumumkan kerjasama eksklusif dengan Boost Bank, bertujuan untuk menawarkan penjimatan kepada pelanggan MYDIN yang mendaftar Boost Bank dan menggunakan aplikasi berkenaan.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, berkata dengan perkongsian ini, pelanggan yang menggunakan Boost Bank kini boleh menikmati penjimatan eksklusif semasa membeli-belah di cawangan MYDIN.

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin bersama Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boost, Sheyantha Abeykoon dan Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla melancarkan Majlis Pengumuman Kerjasama Eksklusif Antara MYDIN dan Boost Bank di MYDIN Mall, Subang.

Ketua Pegawai Eksekutif Boost Bank, Fozia Amanulla, berkata kerjasama dengan MYDIN menekankan misi Boost Bank untuk memupuk inklusi kewangan dan mempermudahkan perbankan untuk semua rakyat Malaysia di mana melalui aplikasi Boost Bank, pelanggan MYDIN akan menikmati penjimatan yang lebih tinggi dengan keistimewaan eksklusif seperti kadar faedah yang lebih tinggi melalui ‘Boost Bank Savings Jars’.

Beliau berkata, kerjasama strategik antara MYDIN dan Boost Bank ini turut menawarkan kadar faedah harian eksklusif sehingga 4 peratus setahun (dibayar secara mingguan) kepada pelanggan MYDIN yang membuka akaun Boost Bank, deposit sekurang-kurangnya RM2,000 ke dalam Savings Jars dengan membelanjakan minimum RM50 sebulan melalui aplikasi Boost eDompet di mana-mana cawangan MYDIN dari 13 Jun hingga 30 September 2024.