Pemborong dan peruncit halal terbesar tempatan, MYDIN Mohamed Holdings Bhd (MYDIN) melancarkan Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja 2024 di bawah Program Jualan Ihsan RAHMAH (PJIR) yang bermula hari ini sehingga 30 Mei.

Kempen ini adalah komitmen MYDIN dalam menyokong Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meringankan kos perbelanjaan ibu bapa dan penjaga dengan menawarkan diskaun, rebat dan hadiah percuma dengan jumlah keseluruhan bernilai RM800,000.

*Armizan diiringi Ameer dan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Perdangan Dalam Negeri), Datuk Roziah Abudin melihat produk yang dijual pada harga berpatutan ketika Kempen Kasih Sayang Ibu dan Si Manja di MYDIN, Subang Jaya. – Foto NSTP/Hairul Rahim

Pengarah Urusan MYDIN, Datuk Ameer Ali Mydin, berkata tawaran itu membabitkan barangan bayi dan kanak-kanak daripada pelbagai jenama. Beliau berkata, Mydin dan rakan pembekalnya sentiasa cakna mengenai cabaran kos sara hidup yang meningkat disebabkan faktor ekonomi global.

“Kempen yang bermula hari ini menjanjikan penjimatan, hadiah dan ganjaran menarik yang boleh direbut masyarakat, khususnya ibu bapa,” katanya ketika melancarkan kempen ini di Pasaraya MYDIN USJ, di Subang Jaya, di sini, hari ini.

Ameer turut berharap, kerjasama antara kerajaan dan pemain industri menjadi pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat.

Sementara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata sejak PJIR dimulakan pada 23 Januari sehingga 25 April lalu, sebanyak 40 pemain industri dalam sektor peruncitan telah melaksanakan PJIR di 2,770 lokasi di seluruh negara.