Seramai 100 keluarga hari ini menerima bantuan dari MYDIN melalui Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gawai Dayak anjuran MYDIN dan TVS.

Pengarah Urusan MYDIN Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin berkata slogan ‘Kami Bawa Senyuman’ di bawah inisiatif MYDIN Prihatin bertujuan berkongsi kegembiraan dengan komuniti setempat di setiap lokasi MYDIN bertapak.

*Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti, YB Datuk Mohammad Razi Sitam bersama Pengarah Urusan MYDIN Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin dan Editor Kanan TVS Eekbal Yusuf menghulur sumbangan keperluan harian kepada penerima

“Kali ini kami menjalinkan kerjasama bersama TVS dengan menghulurkan bantuan keperluan dapur dan baucar tunai bagi meringankan beban komuniti setempat yang memerlukan bagi menyambut perayaan Gawai Dayak tidak lama lagi.

“Peranan kami sebagai syarikat korporat adalah untuk menyumbang kembali kepada masyarakat melalui program seperti ini,” katanya ketika berucap pada Program CSR Gawai MYDIN dan TVS di Pasaraya MYDIN Tunku Vista di sini, hari ini.

*Pengarah Urusan MYDIN Mohamed Holdings Berhad, Datuk Wira (Dr) Haji Ameer Ali Mydin memberi ucapan untuk merasmikan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Gawai Dayak anjuran MYDIN dan TVS.

Program itu dirasmikan Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Datuk Mohammad Razi Sitam dan turut dihadiri, Editor Kanan TVS Eekbal Yusuf mewakili Ketua Pegawai Eksekutif TVS Kushairi Abang.

Ujarnya, MDYIN juga menjalankan program bakul makanan di bawah inisiatif yang sama di setiap cawangan pasar raya besar MYDIN dengan menyumbangkan bantuan tersebut setiap bulan di rumah kebajikan berdaftar.

“Untuk makluman, bantuan yang disalurkan melalui MYDIN Prihatin telah memberi manfaat kepada hampir 30,000 penerima di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya lagi.