*Antara Usahawan – Usahawan Industri Kecil Sederhana (IKS) yang terlibat dalam Kempen Beli Barangan Malaysia.

Rangkaian pemborong dan runcit halal terbesar tempatan, Mydin Mohamed Holdings Berhad (MYDIN), terus komited berganding bahu dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bagi terus merancakkan ekonomi domestik dan mempromosi Kempen Beli Barangan Malaysia.

Usaha ini bertujuan membantu usahawan-usahawan tempatan secara holistik termasuk bantuan dari segi pemasaran dan mempromosi produk keluaran tempatan khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

*Dato’ Rosol bin Wahid, Timbalan Menteri KPDNHEP dan Datuk Wira (Dr.) Hj Ameer Ali Mydin di pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2022.

Kempen kerjasama yang telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri KPDHNHEP, Dato’ Rosol bin Wahid pada 18 Ogos 2022 di MYDIN Seremban 2, Negeri Sembilan ini penuh dengan pelbagai komponen bagi memastikan usahawan-usahawan kekal berdaya saing dan mampan.

Antara program yang menarik perhatian ialah peraduan ‘Pitch to Win’ di mana usahawan-usahawan baharu bersaing memperkenalkan produk mereka bagi merebut hadiah keseluruhan bernilai RM100,000 di samping melayakkan mereka memasarkan produk di seluruh rangkaian MYDIN.

*Pemenang peraduan “Pitch to Win” memenangi pakej pemasaran bernilai RM100,000

Selain itu, lebih 200 usahawan berkumpul bagi mendengar perkongsian dan tips kejayaan oleh pakar-pakar industri dan akademik dalam Seminar Keusahawanan Bersama Kita Bangkit. MYDIN juga turut mengajurkan karnival produk tempatan di sepuluh cawangannya di seluruh negara bagi mempromosi dan memperkenalkan produk lokal.

*Seminar Keusahawanan Bersama Kita Bangkit yang diadakan di MYDIN Seremban 2, Negeri Seremban.

MYDIN kini memasarkan lebih 1200 produk keluaran tempatan negara dan telah membantu lebih 200 usahawan – usahawan tempatan memasarkan produk di semua rangkaian MYDIN di seluruh negara.

Pernah merangkul Anugerah Perdana bagi Kategori Penyertaan Terbaik Kempen Beli Barangan Malaysia dan Kategori Peruncit Terbaik Bumiputera, Anugerah Perdagangan Dalam Negeri 2020 yang dianjurkan KPDNHEP, MYDIN percaya kempen berimpak tinggi seumpama ini mampu membuka mata lebih ramai rakyat tempatan untuk mengutamakan produk tempatan dalam pembelian harian mereka.